Wednesday, December 1, 2010

walker

Walker biru berkonsepkan kapal terbang dan dilengkapi muzik merupakan antara koleksi terbaru Iman. Alhamdulillah, syukur umi di atas rezeki yang dianugerahkanNYA. Murah sungguh rezeki kita akhir-akhir ni Iman. Dapat juga umi sediakan keperluan Iman. Memang itu doa umi. Agar sentiasa murah rezeki, untuk memberikan yang terbaik buat Iman.

Setelah puas meninjau, memilih dan memikir dari pelbagai aspek, umi, Chik Mimi dan Chik Lin sepakat memilih walker ini. Bila sampai di rumah, siap je pasang, nenek dudukkan Iman dalam walker ni. Mula-mula Iman okey jer...Tapi bila umi pasangkan bateri dan butang-butang yang ada di atas walker di tekan, ia mengeluarkan bunyi suara dan muzik, muka Iman dah mula lain macam. Erm...tau lah kami, yang Iman takut bila dengar bunyi suara dan muzik tu. Oleh kerana tak nak Iman takut naik walker, akhirnya bateri tu umi tanggalkan semula. Yang penting, Iman happy bila duduk dalam walker ni.


Tuesday, November 30, 2010

pasar malam

Isnin bertemu Isnin, maka genap seminggu putaran perjalanan kehidupan kita, Iman. Bermulanya Isnin yang baru, bererti ia adalah minggu baru untuk kita lalui meneruskan kehidupan, melukis dan mewarnainya menjadi sebuah kehidupan yang berwarna dan penuh dengan momen-momen indah.

Selesai menikmati hidangan tengah hari dan menunaikan Solat Zuhur, umi ajak nenek ke rumah Nenek Pah. Bagi umi, masa cuti sekolah macam ni sajalah yang memberi umi peluang untuk bawak nenek jalan-jalan. Lagipun, rutin umi dan nenek sekarang adalah membeli barang keperluan di pasar malam Isnin. Memandangkan di kawasan rumah Nenek Pah juga ada pasar malam, umi kira ia juga memudahkan umi dan nenek.

Sekitar jam 4.00 petang kita akhirnya sampai di Bandar Sultan Suleiman. Duduk berbual sambil melayan karenah cucu-cucu Nenek Pah ditambah pula dengan karenah anak umi sorang ni, memang riuh-rendah suasana rumah Nek Pah. Sekali sekala menghiburkan hati dalam keadaan macam ni, memang seronok. Jam 5.30 petang, sebelum balik, kita ke pasar malam. Agenda yang memang wajib dibuat. Kalau tak...erm..tak makan la kita,Iman...Sambil umi dan nenek membeli barang keperluan di pasar malam, Iman berada atas dukungan umi. Punya leka umi dan nenek membeli ikan, sotong, buah, dan sayur, rupa-rupanya Iman dah lena. Iman...Iman...dalam keriuhan pasar yang penuh dengan pelbagai bunyi dan ragam manusia, Iman boleh terlena dengan mudahnya.Kesian Iman...penat sangatlah tu...


Friday, November 19, 2010

5 bulan

Lima bulan genap, usia Iman Qistina. Dari hari pertama hingga ke saat ini, umi tidak pernah lepas melihat perkembangan puteri umi yang satu ni. Semalam, Iman umi bawa ke Klinik Kesihatan untuk rawatan bulanan dan menerima suntikan seterusnya. Alhamdulillah, Iman anak yang baik. Tiap kali di suntik Iman menangis tak lama dan umi bersyukur juga, tiap bulan menerima suntikan, Iman tak pernah demam lagi. 

Sekarang pun, Iman dah mula makan nasi. Buat permulaan, umi bagi Iman makan nasi sekali sehari. Nestum pula, umi campurkan dalam susu. Susu yang mengandungi nestum, Iman minum dua kali sehari. Dalam nasi Iman, kadang-kadang umi campurkan kentang, carrot dan bayam. Adakalanya, umi masukkan bayam, ikan dan kentang. Berselera Iman makan. Suka umi dan nenek tengok Iman makan. 

Dalam meniti usia 5 bulan ni juga, kalau orang bercakap dengan Iman, mesti Iman akan bercakap juga dengan mengeluarkan bunyi "de..de..de...". Ada ketikanya, Iman akan bersuara "hmmm"...Kalau ketawa pula, Iman  suka semburkan air liur sekali. Bila sesiapa dukung Iman depan cermin, pandai pula Iman tengok cermin, senyum dan kemudian ketawa terkekek-kekek.


Tuesday, November 16, 2010

salam aidiladha

Scrapbook at WiddlyTinks.com

Malam raya Aidiladha. Hanya Iman dan umi. Raya kedua bersama Iman. Alhamdulillah...dapat juga umi berhari raya bersama Iman lagi.

Macam biasa, malam raya macam ni, umi akan bantu nenek memasak. Tapi malam ni, sambil bantu nenek, umi kena jaga Iman juga. Iman, umi letakkan depan tv. Memang saja umi buat begitu, biar Iman boleh dengar takbir raya. Iman memang anak yang baik dan memahami situasi kita sekarang. Iman diam je bila dengar orang bertakbir. Erm...malam ni tak boleh tidur lewat,esok lepas sembahyang raya, kita akan ke rumah Nenek Yong dan Nenek Ngah. Acara rasmi setiap tahun di pagi hari raya.


Saturday, November 6, 2010

jalan-jalan

Hari ni, memandangkan umi ada masa, Iman dan nenek umi bawa ke rumah Nenek Pah di Port Klang. Maklumlah, aunty pergi bercuti ke Cameron Highlands. Ayah Su pula, pergi kem motovasi di Bangsar. Sebelum ke rumah Nenek Pah, kita ambil Nenek Su dulu. Dari tengah hari hinggalah ke petang kita duduk di rumah Nenek Pah. Macam-macam juadah yang Nenek Pah sediakan untuk jamu kita. Alhamdulillah...syukur atas rezekiNYA.

Wednesday, October 27, 2010

mata

Orang kata mata memainkan banyak peranan...kerana mata adalah antara pancaindera yang banyak membantu kita dalam kehidupan seharian. Dari renungan mata juga kita boleh mengetahui akan kesahihan kata-kata yang terbit dari mulut seseorang. Benarkah dia atau bersalahkan dia.

Scrapbooking at WiddlyTinks.com
Iman juga memiliki sepasang mata yang cantik. Umi bersyukur dengan anugerah yang ALLAH berikan buat puteri umi ni. Pada mulanya,kawan aunty yang selalu cakap,"mata Iman cantik. Mata Iman bercahaya. Boleh masuk iklan Inner Shine Pati Berry",kata aunty Nurul. Pada mulanya, umi diamkan saja. Tapi,lama-kelamaan, umi akui kata-kata aunty Nurul mungkin ada benarnya.

Hari ini, Iman, umi bawa ke kedai perabot. Umi bercadang nak beli katil. Dalam duk sibuk membuat pilihan dengan nenek, pekerja kedai perabot tu asyik tengok Iman jer...Kemudian nenek pun tanya kenapa dia asyik tengok Iman. Dia jawab, mata Iman cantik. Dia suka tengok mata Iman bila Iman senyum. Pulang dari kedai perabot, kita ke Pasaraya 99 beli barang keperluan rumah. Rupa-rupanya pekerja kat sini pun cakap benda yang sama. Erm..siap ada yang nak ambil dukung Iman lagi...tapi..biasala Iman bukan nak dengan orang lain.

Sunday, October 10, 2010

meniarap

Iman dah pandai meniarap. Satu langkah baharu dalam perkembangan tumbesaran seorang bayi. Umi, nenek, atuk, aunty dan ayah su suka sangat tengok aksi Iman meniarap. Macam-macam gaya dan cara Iman gunakan untuk membalikkan badan. Ada ketikanya Iman berjaya meniarap dengan baik. Adakala Iman mengamuk bila Iman tak berjaya untuk membalikkan badan.
Scrapbooking at WiddlyTinks.com

Mula-mula meniarap, Iman hanya meniarap setempat sahaja dan kepala tak boleh di angkat. Tapi sekarang, Iman dah boleh angkat kepala sambil menggerakkan badan. Erm...sekarang ni juga, kalau Iman meniarap memang tak boleh tinggalkan sorang-sorang. Kalau tinggalkan Iman sekejap di ruang tamu, bila umi atau nenek ke dapur, tau-tau je Iman dah masuk kat bawah kerusi. Tak tahulah nanti macam mana kalau Iman dah merangkak. Tentu semakin lasak anak umi seorang ni.

Tuesday, September 28, 2010

stroller

Genap seminggu stroller berwarna oren menjadi antara koleksi Iman Qistina. Selama seminggu ni juga, hampir setiap hari bila petang tiba dengan cuaca yang mula redup, Iman, umi bawa berjalan-jalan sekitar kawasan rumah dengan stroller ni. Ada ketikanya, Iman boleh duduk dalam stroller dengan baik. Tapi...adakalanya Iman tak nak duduk dalam stroller. Mungkin masih baru, Iman tak selesa dan rasa terkurung. Takpe la, nanti lama-kelamaan pasti Iman akan biasa. Dengan adanya stroller ni, bila ada kesempatan, umi akan bawa Iman ke mana sahaja.

Friday, September 17, 2010

raya lagi

Hari ni hari ketiga Iman berulang-alik ke hospital. Bermula rabu kelmarin, setelah ayah su di tahan di wad ekoran jatuh motor akibat dikejar anjing, setiap hari kita ke hospital. Kesian Iman...setiap hari kena ikut umi, nenek dan aunty ke hospital. Tiap kali ke hospital, umi bawa Iman duduk di taman permainan, sementara menanti nenek dan aunty melawat ayah su. Terkekeh-kekeh Iman ketawa bila umi bawa Iman duduk di buaian.
Scrapbook at WiddlyTinks.com

Malam ni, usai menunaikan solat Maghrib, umi dan ayah sepakat untuk membawa Iman beraya di Batu Belah. Kami memilih untuk ke rumah pak cik ayah dan jiran sebelah rumah nenek. Tapi, mungkin kerana kepenatan, Iman tertidur semasa beraya. Erm...akhirnya, hanya dua rumah je dapat beraya.

Saturday, September 11, 2010

salam lebaran

salam lebaran 2010
Tahun ni, tahun pertama Iman Qistina berhari raya. Semalam, pagi-pagi jam 9.00, usai memandikan Iman, umi memakaikan Iman dengan gaun berwarna merah. Siap dengan stokin 'pink' berbelang merah dan sarung tangan 'pink'. Comelnyaaa...anak umi.

Memulakan perjalanan meraikan Syawal, umi membawa Iman ke rumah nenek dan datuk sebelah ayah di Batu Belah, memang meriah di sini. Maklumlah, keluarga di sini keluarga besar dengan bilangan ahli yang ramai. Di sini, Iman Qistina mempunyai sepupu seramai 8 orang. Sambutan Syawal di sini lazimnya dilalui dengan penuh tradisi. Keluarga atuk akan berkumpul dan saling bermaafan. Kemudian atuk, akan memberi sedikit tazkirah kepada semua anak cucunya. Setelah itu, semua adik-beradik atuk akan datang berkumpul dan diadakan tahlil ringkas bagi mengingati ahli keluarga yang telah tiada.

Selesai berhari raya di Batu Belah, umi bawa pula Iman Qistina ke rumah pak cik umi di Bandar Sultan Suleiman dan ke rumah mak cik umi di Kampung Raja Uda. Kerana banyak berjalan, akhirnya Iman tertidur keletihan, tanpa menghiraukan keadaan sekeliling yang hingar. Kesian anak umi...penat melaram...penat berjalan.

Sunday, August 29, 2010

shopping

Hari ni, umi keluar shopping dengan aunty dan ayah su. Kami ke Jaya Jusco membeli keperluan hari raya untuk Iman dan ayah su. Dari pagi sampai ke petang...dari Jaya Jusco Bukit Raja hingga ke Jaya Jusco Bukit Tinggi. Umi belikan Iman beberapa helai baju untuk dipakai pada hari raya nanti. Ada warna merah, merah jambu, ungu, dan biru. Kata aunty, kalau bole semua warna yang ada umi nak belikan untuk Iman. Hehehe...memang geram tengok baju baby yang cantik-cantik. Lagi-lagi baju baby girl.

Sambil shopping keperluan raya Iman, umi dan aunty sempat juga survey harga 'stroller'. Umi cadang nak belikan untuk Iman. Nanti bila dah ada stroller, boleh umi bawak Iman jalan-jalan. Nenek pun boleh ikut sekali. Sekarang, Iman kena duduk rumah dengan nenek. Ye la..kan, badan Iman yang bulat berisi ni, mana la umi larat nak dukung lama-lama. Tapi tak pe, nanti bila ada stroller, umi akan bawak Iman ke mana sahaja. Sebab umi cuma ada Iman seorang...

Tuesday, August 17, 2010

meragam

Entah kenapa, dari pagi lagi Iman asyik meragam. Umi dan nenek benar-benar kalut menghadapi situasi ini. Manakan tidak kalau ianya berlaku secara tiba-tiba. Pada mulanya umi lihat Iman seperti biasa sahaja. Masih tersenyum bila di agah. Akan ketawa bila digeletek. Tiba-tiba, selepas nenek memandikan Iman, Iman terus menangis bagaikan didera. Panik umi dan nenek. Buntu kami memikirkan apa yang tak kena dengan Iman Qistina. Diberi susu, juga dia tak nak. Iman...Iman...dalam hati umi, tanpa henti umi berdoa supaya jauhkan Iman dari segala benda yang tak baik. Segala ayat umi baca dan tiupkan ke ubun-ubun Iman. Begitu juga dengan nenek. Akhirnya, setelah setengah jam Iman menangis tanpa henti, dia terlena jua...hanya dengan memakai drypers.

Monday, July 19, 2010

sebulan

Diam tak diam, hari ni Iman Qistina dah berusia 1 bulan. Cepatnya masa berlalu.Dia juga semakin berisi...Manakan tidak, kalau asyik nak susu je...Kalau dah tidur bukan main lama. Kalau dah jaga, susah pula nak tidur. Iman juga kuat menyusu. Mungkin sebab tu berat badannya juga telah bertambah dari 3.24kg, sekarang dah jadi 4.1kg.

Dalam masa sebulan ni juga, umi mula belajar menjadi seorang ibu. Cara memandikan, penukaran drypers, dan cara memberi susu botol.Tapi hingga kini juga, umi masih belum berani nak memandikan Iman Qistina. Kenapa???Takut...takut kalau tersilap pegang dan tersalah cara.Hehehe...Esok, umi kena bawa Iman pergi klinik untuk pemeriksaan perubatan. Iman perlu disuntik dengan Vaksin Hep B kali kedua. Umi harap Iman tak nangis dan Iman mesti kuat tahan sakit...

Hari ni juga, umi minta ayah belikan Iman buaian. Sebab umi tengok Iman suka tidur atas pangkuan yang digoyangkan. Buaian warna 'pink purple' menjadi pilihan ayah. Kata ayah, "warna buaian ni sesuai untuk anak perempuan". Umi terima je, sebab umi tau pilihan ayah tak pernah silap. Dengan adanya buaian ni, umi harap Iman akan dapat tidur dengan lebih lena. Ok sayang....

Saturday, June 26, 2010

welcome home

Alhamdulillah, semalam Iman dah blh balik rumah setelah seminggu berada di HTAR. Punyalah lama berkampung di hospital sampaikan tali pusat pun tanggal di sana. Hehehe...

Jam 9.00 pagi semalam seperti biasa, ketika Iman dan bayi-bayi lain di periksa oleh doktor pakar, umi di maklumkan bahawa Iman boleh di bawa pulang ke rumah hari ini(semalam), tetapi apa-apa pun ianya bergantung kepada keputusan darah. Jam 11.00 pagi, umi minta bantuan seorang doktor pelatih berbangsa Cina membuat semakan keputusan darah Iman di makmal. Namun, hampa kerana keputusan belum dikeluarkan. Kemudian, jam 2.00 petang umi didatangi semula oleh doktor sama dengan membawa perkhabaran gembira. Syukur yang tak terhingga...keputusan darah Iman menunjukkan tiada kuman.

Tepat jam 5.00 petang semalam, kami tiba di rumah dan Iman di sambut oleh neneknya. Mungkin kerana lama di hospital, Iman kelihatan seakan belum dapat menerima persekitaran baru. Susah tidur, asyik menangis...sampaikan masa mandi pun menangis..."Takpelah Iman, yang penting Iman dan umi sekarang dah berada di rumah. Sekurang-kurangnya, ada ayah, nenek, atuk, aunty Za dan ayah su untuk tengok-tengokkan Iman bila umi letih".

Monday, June 21, 2010

hari ketiga

Hari ketiga di HTAR,benar-benar menguji keimanan dan kesabaran umi..Manakan tidak, belum pun sembuh luka jahitan sepenuhnya, badan umi pula mula terasa sengal-sengal. Sakit mencucuk-cucuk hingga ke tulang-temulang. Hanya TUHAN yang tahu. Mungkin kerana duduk di dalam bilik yang berpenghawa dingin. Wad 6A yang menempatkan bayi yang tidak sihat dan mengalami pelbagai masalah setelah dilahirkan, menjadi rumah kedua buat umi bermula petang semalam setelah umi dibenarkan keluar dari wad bersalin.

Kenapa umi mesti berada di sini? Sungguh...umi tidak mampu untuk merungkaikan dengan kata-kata...hanya perasaan sebak dan air mata yang menemani umi sejak semalam. Puteri umi Iman Qistina di katakan mengalami demam selepas sehari dilahirkan. Keadaan suhu badannya yang tidak menentu menyebabkan dia perlu dipantau dan diberikan rawatan yang rapi. Oleh kerana umi telah dibenarkan pulang, maka puteri umi harus ditempatkan di wad bayi.

Bagaimanapun, di wad bayi ini, ibu-ibu dibenarkan bermalam di sini dengan diberikan katil dan ditempatkan di dalam sebuah bilik khas. Anak masing-masing pula di tempatkan di bilik yang berasingan. Kami tidak dibenarkan menjaga anak sepanjang masa. Kami hanya akan dipanggil apabila anak terjaga dari tidur dan perlu diberikan susu. Maklumlah, polisi hospital kerajaan ialah penyusuan susu ibu sepenuhnya.

Berada di dalam bilik tidur dengan beberapa orang ibu lain, menjadikan kami akrab sekelip mata. Bercerita dan berkongsi segala rasa untuk melepaskan rasa yang berbuku di dada. Umi? Umi cuba juga untuk berbual dengan mereka, tapi tiap kali umi membuka mulut untuk berbicara pasti air mata umi tumpah bersama dengan butiran kata. Ya TUHAN...umi benar-benar tidak kuat menghadapi dugaan ini...Benar kata orang, bila sudah ada anak sendiri, bila sudah rasa sakit perit melahirkan, pasti akan terbit satu rasa dalam jiwa yang sukar untuk ditafsirkan apatah lagi bila ianya melibatkan perihal anak...

Berapa lama umi harus berada di sini? Erm...umi juga tidak pasti...Umi tidak punya jawapan...Doa umi moga Iman Qistina akan sembuh dengan cepat dan keputusan darah yang di ambil tidak semalam tidak mengandungi kuman. AMIN...

Saturday, June 19, 2010

selamat datang

selamat datang puteri ayahanda & bonda IMAN QISTINA