Monday, June 21, 2010

hari ketiga

Hari ketiga di HTAR,benar-benar menguji keimanan dan kesabaran umi..Manakan tidak, belum pun sembuh luka jahitan sepenuhnya, badan umi pula mula terasa sengal-sengal. Sakit mencucuk-cucuk hingga ke tulang-temulang. Hanya TUHAN yang tahu. Mungkin kerana duduk di dalam bilik yang berpenghawa dingin. Wad 6A yang menempatkan bayi yang tidak sihat dan mengalami pelbagai masalah setelah dilahirkan, menjadi rumah kedua buat umi bermula petang semalam setelah umi dibenarkan keluar dari wad bersalin.

Kenapa umi mesti berada di sini? Sungguh...umi tidak mampu untuk merungkaikan dengan kata-kata...hanya perasaan sebak dan air mata yang menemani umi sejak semalam. Puteri umi Iman Qistina di katakan mengalami demam selepas sehari dilahirkan. Keadaan suhu badannya yang tidak menentu menyebabkan dia perlu dipantau dan diberikan rawatan yang rapi. Oleh kerana umi telah dibenarkan pulang, maka puteri umi harus ditempatkan di wad bayi.

Bagaimanapun, di wad bayi ini, ibu-ibu dibenarkan bermalam di sini dengan diberikan katil dan ditempatkan di dalam sebuah bilik khas. Anak masing-masing pula di tempatkan di bilik yang berasingan. Kami tidak dibenarkan menjaga anak sepanjang masa. Kami hanya akan dipanggil apabila anak terjaga dari tidur dan perlu diberikan susu. Maklumlah, polisi hospital kerajaan ialah penyusuan susu ibu sepenuhnya.

Berada di dalam bilik tidur dengan beberapa orang ibu lain, menjadikan kami akrab sekelip mata. Bercerita dan berkongsi segala rasa untuk melepaskan rasa yang berbuku di dada. Umi? Umi cuba juga untuk berbual dengan mereka, tapi tiap kali umi membuka mulut untuk berbicara pasti air mata umi tumpah bersama dengan butiran kata. Ya TUHAN...umi benar-benar tidak kuat menghadapi dugaan ini...Benar kata orang, bila sudah ada anak sendiri, bila sudah rasa sakit perit melahirkan, pasti akan terbit satu rasa dalam jiwa yang sukar untuk ditafsirkan apatah lagi bila ianya melibatkan perihal anak...

Berapa lama umi harus berada di sini? Erm...umi juga tidak pasti...Umi tidak punya jawapan...Doa umi moga Iman Qistina akan sembuh dengan cepat dan keputusan darah yang di ambil tidak semalam tidak mengandungi kuman. AMIN...

No comments:

Post a Comment