Sunday, August 29, 2010

shopping

Hari ni, umi keluar shopping dengan aunty dan ayah su. Kami ke Jaya Jusco membeli keperluan hari raya untuk Iman dan ayah su. Dari pagi sampai ke petang...dari Jaya Jusco Bukit Raja hingga ke Jaya Jusco Bukit Tinggi. Umi belikan Iman beberapa helai baju untuk dipakai pada hari raya nanti. Ada warna merah, merah jambu, ungu, dan biru. Kata aunty, kalau bole semua warna yang ada umi nak belikan untuk Iman. Hehehe...memang geram tengok baju baby yang cantik-cantik. Lagi-lagi baju baby girl.

Sambil shopping keperluan raya Iman, umi dan aunty sempat juga survey harga 'stroller'. Umi cadang nak belikan untuk Iman. Nanti bila dah ada stroller, boleh umi bawak Iman jalan-jalan. Nenek pun boleh ikut sekali. Sekarang, Iman kena duduk rumah dengan nenek. Ye la..kan, badan Iman yang bulat berisi ni, mana la umi larat nak dukung lama-lama. Tapi tak pe, nanti bila ada stroller, umi akan bawak Iman ke mana sahaja. Sebab umi cuma ada Iman seorang...

Tuesday, August 17, 2010

meragam

Entah kenapa, dari pagi lagi Iman asyik meragam. Umi dan nenek benar-benar kalut menghadapi situasi ini. Manakan tidak kalau ianya berlaku secara tiba-tiba. Pada mulanya umi lihat Iman seperti biasa sahaja. Masih tersenyum bila di agah. Akan ketawa bila digeletek. Tiba-tiba, selepas nenek memandikan Iman, Iman terus menangis bagaikan didera. Panik umi dan nenek. Buntu kami memikirkan apa yang tak kena dengan Iman Qistina. Diberi susu, juga dia tak nak. Iman...Iman...dalam hati umi, tanpa henti umi berdoa supaya jauhkan Iman dari segala benda yang tak baik. Segala ayat umi baca dan tiupkan ke ubun-ubun Iman. Begitu juga dengan nenek. Akhirnya, setelah setengah jam Iman menangis tanpa henti, dia terlena jua...hanya dengan memakai drypers.

Monday, July 19, 2010

sebulan

Diam tak diam, hari ni Iman Qistina dah berusia 1 bulan. Cepatnya masa berlalu.Dia juga semakin berisi...Manakan tidak, kalau asyik nak susu je...Kalau dah tidur bukan main lama. Kalau dah jaga, susah pula nak tidur. Iman juga kuat menyusu. Mungkin sebab tu berat badannya juga telah bertambah dari 3.24kg, sekarang dah jadi 4.1kg.

Dalam masa sebulan ni juga, umi mula belajar menjadi seorang ibu. Cara memandikan, penukaran drypers, dan cara memberi susu botol.Tapi hingga kini juga, umi masih belum berani nak memandikan Iman Qistina. Kenapa???Takut...takut kalau tersilap pegang dan tersalah cara.Hehehe...Esok, umi kena bawa Iman pergi klinik untuk pemeriksaan perubatan. Iman perlu disuntik dengan Vaksin Hep B kali kedua. Umi harap Iman tak nangis dan Iman mesti kuat tahan sakit...

Hari ni juga, umi minta ayah belikan Iman buaian. Sebab umi tengok Iman suka tidur atas pangkuan yang digoyangkan. Buaian warna 'pink purple' menjadi pilihan ayah. Kata ayah, "warna buaian ni sesuai untuk anak perempuan". Umi terima je, sebab umi tau pilihan ayah tak pernah silap. Dengan adanya buaian ni, umi harap Iman akan dapat tidur dengan lebih lena. Ok sayang....

Saturday, June 26, 2010

welcome home

Alhamdulillah, semalam Iman dah blh balik rumah setelah seminggu berada di HTAR. Punyalah lama berkampung di hospital sampaikan tali pusat pun tanggal di sana. Hehehe...

Jam 9.00 pagi semalam seperti biasa, ketika Iman dan bayi-bayi lain di periksa oleh doktor pakar, umi di maklumkan bahawa Iman boleh di bawa pulang ke rumah hari ini(semalam), tetapi apa-apa pun ianya bergantung kepada keputusan darah. Jam 11.00 pagi, umi minta bantuan seorang doktor pelatih berbangsa Cina membuat semakan keputusan darah Iman di makmal. Namun, hampa kerana keputusan belum dikeluarkan. Kemudian, jam 2.00 petang umi didatangi semula oleh doktor sama dengan membawa perkhabaran gembira. Syukur yang tak terhingga...keputusan darah Iman menunjukkan tiada kuman.

Tepat jam 5.00 petang semalam, kami tiba di rumah dan Iman di sambut oleh neneknya. Mungkin kerana lama di hospital, Iman kelihatan seakan belum dapat menerima persekitaran baru. Susah tidur, asyik menangis...sampaikan masa mandi pun menangis..."Takpelah Iman, yang penting Iman dan umi sekarang dah berada di rumah. Sekurang-kurangnya, ada ayah, nenek, atuk, aunty Za dan ayah su untuk tengok-tengokkan Iman bila umi letih".

Monday, June 21, 2010

hari ketiga

Hari ketiga di HTAR,benar-benar menguji keimanan dan kesabaran umi..Manakan tidak, belum pun sembuh luka jahitan sepenuhnya, badan umi pula mula terasa sengal-sengal. Sakit mencucuk-cucuk hingga ke tulang-temulang. Hanya TUHAN yang tahu. Mungkin kerana duduk di dalam bilik yang berpenghawa dingin. Wad 6A yang menempatkan bayi yang tidak sihat dan mengalami pelbagai masalah setelah dilahirkan, menjadi rumah kedua buat umi bermula petang semalam setelah umi dibenarkan keluar dari wad bersalin.

Kenapa umi mesti berada di sini? Sungguh...umi tidak mampu untuk merungkaikan dengan kata-kata...hanya perasaan sebak dan air mata yang menemani umi sejak semalam. Puteri umi Iman Qistina di katakan mengalami demam selepas sehari dilahirkan. Keadaan suhu badannya yang tidak menentu menyebabkan dia perlu dipantau dan diberikan rawatan yang rapi. Oleh kerana umi telah dibenarkan pulang, maka puteri umi harus ditempatkan di wad bayi.

Bagaimanapun, di wad bayi ini, ibu-ibu dibenarkan bermalam di sini dengan diberikan katil dan ditempatkan di dalam sebuah bilik khas. Anak masing-masing pula di tempatkan di bilik yang berasingan. Kami tidak dibenarkan menjaga anak sepanjang masa. Kami hanya akan dipanggil apabila anak terjaga dari tidur dan perlu diberikan susu. Maklumlah, polisi hospital kerajaan ialah penyusuan susu ibu sepenuhnya.

Berada di dalam bilik tidur dengan beberapa orang ibu lain, menjadikan kami akrab sekelip mata. Bercerita dan berkongsi segala rasa untuk melepaskan rasa yang berbuku di dada. Umi? Umi cuba juga untuk berbual dengan mereka, tapi tiap kali umi membuka mulut untuk berbicara pasti air mata umi tumpah bersama dengan butiran kata. Ya TUHAN...umi benar-benar tidak kuat menghadapi dugaan ini...Benar kata orang, bila sudah ada anak sendiri, bila sudah rasa sakit perit melahirkan, pasti akan terbit satu rasa dalam jiwa yang sukar untuk ditafsirkan apatah lagi bila ianya melibatkan perihal anak...

Berapa lama umi harus berada di sini? Erm...umi juga tidak pasti...Umi tidak punya jawapan...Doa umi moga Iman Qistina akan sembuh dengan cepat dan keputusan darah yang di ambil tidak semalam tidak mengandungi kuman. AMIN...

Saturday, June 19, 2010

selamat datang

selamat datang puteri ayahanda & bonda IMAN QISTINA